Wednesday, August 28, 2013

Nasir Jalil: lagenda bolasepak Terengganu lulusan Universiti Riyadh.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Nasir Jalil (Sumber: Berita Harian, 6 November 1978)

Kehadiran pemain bolasepak dalam liga tempatan dari kalangan graduan universiti bukanlah sesuatu yang asing pada masa kini, apatah lagi dengan kewujudan pertandingan di peringkat univesiti seperti Liga IPT. Sebelumnya para pemain bolasepak mendapat tawaran dari universiti yang menawarkan kursus Sains Sukan bagi tujuan mempromosi dan memperkasa program pengajian tersebut yang dipelopori oleh UiTM. Nama seperti K.Reuben dan Amiridzwan Taj yang bermain untuk pasukan kebangsaan dan ATM misalannya lahir dari liga IPT sewaktu  mewakili universiti masing-masing iaitu UKM dan UiTM.

Nasir Jalil dan rakan-rakan dari Madrasah Al-Junied yang turut mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. ( Sumber : Berita Harian, 6 November 1978)

Senario ini agak janggal bagi arena bolasepak tahun-tahun sebelumnya, jika adapun sekitar tahun 90an baru ada nama seperti Zulfatah Zulkarnain, graduan USM yang mewakili pasukan Kedah, kemudiannya muncul nama seperti Haris Safwan dan Farid Dewan yang juga merupakan graduan dari universiti tempatan. Namun dalam era 70an-80an, ada Nasir Jalil, pemain kebangsaan Singapura yang turut mencipta nama dengan pasukan Terengganu, beliau merupakan graduan dari sebuah universiti dari timur tengah, iaitu Universiti Imam Muhammad bin Saud, yang terletak di Riyadh, Arab Saudi. Nasir Jalil yang terkenal dengan jolokan 'Kuda liar' dek kelincahan dan gaya permainan yang tidak kenal penat itu melanjutkan pelajaran dalam bidang Bahasa Arab dan Agama Islam selama 5 tahun mulai tahun 1978. Sebelumnya beliau memang mempunyai latar belakang pendidikan agama melalui persekolahan beliau di Madrasah Al-Junied Al-Islami di Singapura. Pembelajaran beliau di Universiti Riyadh itu adalah dibawah tanggungan biasiswa yang ditawarkan oleh universiti berkenaan.

Ayam Tambatan skuad penyu dari seberang tambak...Nasir Jalil dan Ahmad Paijan ( Sumber: Berita Harian, 13 Mac 1986)
Selepas tamat pengajian, beliau kembali menyarung jersi bolasepak dengan menyertai pasukan kebangsaan Singapura sebelum berhijrah ke Terengganu pada tahun 1982, selain bermain bolasepak, beliau turut menjadi guru agama di sana sehinggalah mendapat taraf penduduk tetap dan kemudiannya kerakyatan Malaysia pada tahun 1988. Kegemilangan beliau bersama pasukan Terengganu meletakkan beliau sebaris dengan bintang Terengganu yang sezaman dengannnya, iaitu Ahmad Paijan, Raimi Jamil, Norhalis Shafik (juga merupakan sepupu Nasir), Zulkifli Hamzah, Adang Abdullah dan ramai lagi.


 
Aksi Nasir Jalil dalam perlawanan menentang Perlis dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja yang pernah ditayangkan di RTM1 (Kredit haaasuddoh)

Di kalangan penyokong Terengganu, Nasir Jalil terkenal dengan gelaran 'Ustaz', biarpun dengan imej berambut panjang sewaktu diawal penampilan beliau dengan skuad penyu itu. Nasir Jalil meninggal dunia pada 8 Jun 2011 di Terengganu akibat penyakit barah otak yang dihidapinya sejak tahun 2004 lagi, ketika itu beliau berusia 55 tahun. Allahyarham Nasir Jalil meninggalkan seorang isteri dan 6 orang anak.


Rujukan:


Cemuhan tak patahkan azam mereka untuk belajar. Berita Harian, 6 November 1978 from NewspaperSG.

Nasir kembali sertai skuad kebangsaan. Berita Harian, 1 Januari 1980 from NewspaperSG.

Nasir undur dari skuad kebangsaan, Berita Harian 10 April 1981from NewspaperSG.

 Sazali Abdul Aziz. Ex-lion Nasir dies, The New Paper, 8 Jun 2011.

Yusoff Rahman. Melayu S'pura mahu Nasir pula, Berita Harian, 19 Julai 1979 from NewspaperSG.



No comments: