Friday, February 28, 2014

Dari JB ke Winsford: kisah anak Malaysia pertama jadi Datuk Bandar di England.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Datuk Mohd. Aris Ahmad merupakan anak kelahiran Johor Bahru, beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Inggeris Bukit Zaharah diantara tahun 1948 hingga 1951. Setelah meninggalkan alam persekolahan, beliau menyertai pasukan tentera dan ditugaskan di Grik, iaitu kawasan yang berisiko tinggi dengan ancaman komunis pada ketika itu. Sewaktu didalam pasukan tentera, beliau terlibat didalam operasi SAS yang diketuai oleh Jeneral Gerald Templer, operasi ini bertujuan mengumpulkan kaum orang asal yang tinggal didalam hutan di Grik agar mereka tidak dieksploitasi oleh pasukan komunis.

Datuk Mohd. Aris kemudiannya meninggalkan perkhidmatan tentera dan berhijrah ke England pada tahun 1957, iaitu setelah negara mencapai kemerdekaan. Bagi menyara kehidupannya di England, beliau bekerja sebagai kerani dengan bayaran £18 seminggu, dikalangan rakan-rakan baru di bumi inggeris, beliau dikenali dengan nama ‘Jeff Ahmad’. Bagi meningkatkan taraf hidupnya, Datuk Mohd. Aris  menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di University of Manchester dalam bidang ekonomi dan sains politik. Datuk Mohd. Aris kemudiannya mendirikan rumah tangga bersama Renee Ahmad, mereka dikurniai sepasang cahayamata, Karen Brookes dan Paul Ahmad. Setelah berhijrah ke Winsford, beliau membuka perniagaan menjual peralatan besi bersama menantunya, selain berniaga, beliau juga aktif dalam kesatuan pekerja setempat di Winsford. Menurut laporan Berita Harian Singapura bertarikh 19 Mei 1989, Datuk Mohd. Aris merupakan penduduk tunggal berketurunan melayu yang tinggal di Winsford dalam daerah Cheshire.

Datuk Aris Ahmad bersama keluarga (sumber: http://www.alphaunitech.com.my)

Oleh kerana aktiviti dan sumbangan sosial yang aktif, Datuk Mohd. Aris  telah dilantik menjadi wakil rakyat majlis tempatan Winsford pada tahun 1983, dan pada tahun 1988 beliau dipilih menjadi Timbalan Datuk Bandar Winsford. Setahun kemudian, beliau secara rasmi pada tarikh 16 Mei 1989 telah dilantik menjadi Datuk Bandar Winsford bagi tempoh setahun, ketika itu beliau berusia 55 tahun. Pencapaian beliau ini menjadi satu kebanggaan bagi rakyat Malaysia, terutamanya kerajaan Negeri Johor, lalu beliau dianugerahi pingat Setia Mahkota Johor yang membawa gelaran Datuk. Pada tahun 2011, seorang lagi anak Malaysia mencapai kejayaan yang sama, Helen Chuah Gaik Choon yang dilahirkan di Pulau Pinang dilantik menjadi Datuk Bandar Colchester.

Helen Chuah Gaik Choon, anak kelahiran Pulau Pinang yang dilantik menjadi Datuk Bandar Colchester. (Sumber : NST)

Datuk Mohd. Aris Ahmad meninggal dunia pada 16 Disember 1994 sewaktu berusia 61 tahun akibat serangan jantung. Beliau dikatakan tiba-tiba rebah di kediamannya di Chesire dan menghembus nafas terakhir setibanya di Leinghton Hospital. Jenazah Allahyarham Datuk Aris Ahmad disemadikan di  Tanah Perkuburan di Stoke-On-Trent, Staffordshire.

Rujukan:

Anak melayu dilantik datuk bandar di England (19 Mei 1989). Berita Harian.

Bekas datuk Bandar Winsford meninggal dunia (17 Disember 1994). Berita Harian.

Malaysian-born former mayor dies (17 Disember 1994). The New Straits Times.

Siblings proud of new mayor of Colchester (17 Mei 2011). The Star.



Thursday, February 27, 2014

Kisah Rolls Royce Sir Henry Gurney.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Sir Henry Lovell Goldsworth Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British menemui ajal akibat serang hendap oleh komunis yang diketuai oleh Siu Mah pada 6 Oktober. Pada hari malang tersebut, Sir Henry Gurney bersama Lady Gurney dan Setiausaha Sulit beliau, D.J Staples bertolak dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser pada jam 10.45 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Rolls Royce model 1951, iaitu kenderaan rasmi Pesuruhjaya Tinggi British.

Setibanya di selekoh di sebatang jalan antara Kuala Kubu Baru - Pahang yang dikenali sebagai The Gap, kira-kira jam 1 tengahari, mereka telah diserang hendap. Dikatakan sebaik sahaja mereka dihujani peluru, Sir Henry Gurney telah bertindak keluar dari kereta, lalu cuba mencari arah tembakan dilepaskan, beberapa saat kemudian, beliau menjadi mangsa peluru yang dilepaskan oleh pengganas komunis.

Dalam kejadian berkenaan, kereta Rolls Royce berkenaan telah ditembusi 35 butir peluru. Setelah dibaiki, kereta berkenaan digunakan oleh Gabenor Pulau Pinang yang pertama, Raja Tun Uda mulai 1 September 1957 hingga 1967 sebelum diganti dengan sebuah kereta jenis Cadillac. Kini Rolls Royce yang lengkap dengan enjin bernombor RE8812 itu dipamerkan di Muzium Negeri Pulau Pinang.

Sumber:

Rolls Royce at http://www.penangmuseum.gov.my/museum/en/museum/blog/rolls-royce

Shukur Rahman (23 September 1983). Henry Gurney's Rolls Royce. The New Straits Times.

http://harithsidek.blogspot.co.uk/2013/05/pembunuh-sir-henry-gurney-siu-mah.html

Monday, February 17, 2014

'Restoran Rakyat': restoran kos rendah untuk rakyat.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Bangunan Restoran Rakyat dengan konsep minangkabau yang dibangunkan oleh DBKL.

Sebagai langkah meringankan beban rakyat, sebuah restoran ‘kos rendah’ telah dibuka pada tahun 1973, iaitu ketika negara mengalami krisis ekonomi yang pertama tahun 1973/74. Restoran yang terletak di Jalan Parlimen itu diberi nama ‘Restoran Rakyat’ dan dirasmikan pada 30 Ogos 1973 oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Abdul Razak. Menurut Tun Razak, restoran berkenaan dibuka bagi membantu para pekerja yang berpendapatan rendah serta para pelawat dari luar bandar yang datang melawat Kuala Lumpur. 

Teks Ucapan Tun Abdul Razak di Majlis Perasmian Restoran Rakyat.

Dalam ucapan perasmiannya, Tun Razak menyebut bahawa restoran ini dibangunkan dengan kerjasama banyak pihak, antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab membina bangunan yang berkongsepkan minangkabau selain meja makan dan peralatan dapur. Pihak Lembaga Letrik Negara (kini TNB) pula membantu dengan kaedah mengenakan caj yang rendah atau secara concession, Lembaga Padi dan Beras Negara membekalkan beras dengan kadar yang murah. Kerajaan negeri Selangor pula membantu dari segi bantuan bekalan air dengan caj minima, selain bantuan dari individu, malah ada yang memberi bantuan berbentuk kereta bagi tujuan pengurusan restoran berkenaan.

Para pelanggan dikenakan caj yang sangat minima, sebagai contoh sarapan dengan nasi lemak hanya 20 sen, sementara pelanggan boleh menikmati juadah tengahari yang seimbang dengan lauk kari dan sayuran bernilai 80 sen sahaja. Hari pertama beroperasi, juadah yang disediakan di Restoran Rakyat ialah kari ikan, rending, kangkung, sambal belacan, ulam, asam laksa serta rojak. Pelanggan pertama Restoran Rakyat ialah perasminya, Tun Abdul Razak, beliau membayar sendiri makanan tengahari beliau itu yang bernilai 80 sen.

Kelihatan Tun Razak membayar sendiri juadah tengahari beliau yang bernilai 80 sen. (NSUNT, 26 Jun 2011)

Antara ciri unik restoran ini ialah, pelanggan tidak disediakan pinggan sepertimana kebiasaan sebuah restoran, sebaliknya menggunakan ‘tray’ atau dulang seperti yang digunakan di asrama sekolah. Bagi memastikan kewujudan Restoran Rakyat tidak menggugat perniagaan peniaga kecil seperti warung dan gerai makanan, Tun Razak mengarahkan agar operasi Restoran Rakyat dihadkan mulai pagi untuk sarapan sehinggalah waktu makan tengahari sekitar jam 3 petang. Isteri Perdana Menteri, Tun Rahah diberi tanggungjawab sebagai Presiden Restoran Rakyat yang sebelumnya digerakkan oleh jawatankuasa khas. Cawangan kedua Restoran Rakyat kemudiannya dibuka di Johor, laporan New Sunday Times bertarikh 26 Jun 2011 menyebut, beberapa Restoran Rakyat masih beroperasi pada ketika itu, cuma tidak dapat dipastikan adakah harga makanan yang dikenakan masih ‘mesra rakyat’.

Rujukan:

Tan Choe Choe (26 Jun 2011). Breakfast just 20sen, lunch 80sen. New Sunday Times.


Tun Abdul Razak. Ucapan Perdana Menteri di majlis perasmian Restoran Rakyat Kuala Lumpur pada 30hb Ogos 1973.

Saturday, February 15, 2014

Gimnasium Rakyat yang pertama di Malaysia.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Keratan akhbar The New Straits Times bertarikh 30 Disember 1988.

Gimnasium Rakyat yang pertama di negara ini terletak di Taman Tasik Perdana, ianya merupakan projek usahasama diantara Kementerian Belia dan Sukan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. KBS bertanggungjawab menyalurkan dana sebanyak RM50 ribu bagi peralatan gimnasium, sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merupakan pemilik serta pengurus gimnasium ini. Yuran yang dikenakan bagi keahlian gimnasium ini amat rendah, iaitu diantara RM5 hingga RM20 (mengikut jenis keahlian). Malah pada hari ini terdapat Gimnasium Rakyat yang menawarkan yuran lebih rendah iaitu RM2.

Berdasarkan direktori Gimnasium Rakyat di Malaysia pada tahun 2012 yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan, terdapat 91 buah Gimnasium Rakyat telah beroperasi seluruh negara. Projek ini terbukti berjaya melahirkan ramai ahli sukan kebangsaan selain membantu dalam menggalakkan gaya hidup sihat dikalangan  komuniti setempat.


Rujukan:

For fitness buffs: first people's gymnasium to open next month (30 December 1988). The New Straits Times.

Gimnasium 1Malaysia jayakan gaya hidup sihat (17 Jun 2013). Sihar Harian.

Gimnasium rakyat perlu tapak baru(14 Ogos 2013). Sinar Harian.

Kementerian Belia dan Sukan. Direktori Gimnasium Rakyat di Malaysia. at http://www.kbs.gov.my/dokumen2012/direktoriGym.pdf ( akses pada  15 Februari 2014).

Monday, February 10, 2014

Murtabak Pak Din perintis francais kos rendah.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Selepas kejayaan ‘Sate Ria’, perniagaan berasaskan makanan tempatan secara francais yang seterusnya ialah ‘Murtabak Pak Din’. Murtabak Pak Din diusahakan oleh Shamsudin Lah yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Beliau memulakan perniagaan murtabaknya sekitar tahun 1978 di Kota Bahru, sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka  warung di Kampung Pandan dan Pasar Keramat Dalam. Oleh kerana sambutan orang ramai yang menggalakkan, Pak Din telah membuka empat lagi cawangan warungnya. Melihatkan kejayaan serta kemasyuran murtabak Pak Din, Mara Holdings telah menawarkan program pengembangan perniagaan tersebut secara francais. 

Berbeza dengan ‘Sate Ria’ yang berkonsepkan restaurant, Murtabak Pak Din menggunakan konsep yang berkos rendah dan memadai diniagakan di warung atau gerai. Menurut Pak Din, resepi murtabaknya berasal dari Mekah dan beliau sendiri mempelajarinya dari salah seorang saudaranya, beliau tidak bersedia mendedahkan resepi berkenaan secara terperinci, sebaliknya memberi gambaran bahawa kelazatan murtabak beliau adalah hasil dari adunan daging, bawang serta rempah yang baik.


Pada 10 mac 1988, Perniagaan dengan label 'Murtabak Pak Din' secara francais telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Tajol Rosli Ghazali. Pakej francais yang ditawarkan oleh Mara Holdings bernilai RM3,500, kos ini termasuk yuran penyertaaan sebanyak RM200. Antara syarat yang terkandung ialah, Pak Din sendiri bertanggungjawab menyediakan inti murtabak, sementara Mara bertanggungjawab keatas perkhidmatan jualan, termasuk memastikan setiap peserta francais mematuhi piawaian yang ditetapkan. Para peringkat awal, Mara menawarkan 5 warung Murtabak Pak Din yang terletak di Bangsar, Bangi, Kajang dan Shah Alam (dua warung) selain 7 warung yang diusahakan sendiri oleh Pak Din yang terletak di Keramat, kampung Pandan, Medan Mara Kuala Lumpur, Cheras, Dayabumi, Sungai Besi dan Jalan P.Ramlee. Purata jualan keseluruhan pada ketika itu amat menggalakkan, kira-kira 3000 keping murtabak dapat dijual dalam sehari dari kesemua warung yang ada. Set hidangan Murtabak Pak Din mengandungi timun, bawang dan sos dan bermula dengan harga serendah RM1.20.



Seterusnya Mara telah bekerjasama dengan MARDI untuk menambah baik produk Murtabak Pak Din, iaitu dengan memanjangkan tempoh luput inti makanan berikut kepada seminggu, pada ketika itu inti dan kulit murtabak Murtabak Pak Din hanya bertahan selama 24 jam sahaja sebelum menjadi basi. Namun usahasama Pak Din dengan Mara Holdings tidak kekal lama, beliau mengambil keputusan membatalkan perjanjian dengan anak syarikat Mara itu dan meneruskan perusahaan Murtabak Pak Din mengikut kaedah dan perancangan beliau sendiri. Setelah ‘berpisah’ dari Mara Holdings, Murtabak Pak Din kemudiannya terus berkembang dan cawangannya dibuka di timur tengah iaitu di Kaherah, Madinah dan Jeddah (TST,2 May 1989). Namun ‘panas tidak sampai ke petang’, perniagaan Murtabak Pak Din menemui nasib yang sama seperti ‘Sate Ria’, kemunculan ramai pesaing yang dapat menghasilkan murtabak yang setanding kelazatannya dikatakan antara puncanya, malah seperti yang disebut oleh Wan Sabri Wan Hussin dalam bukunya ‘Etika dan Amalan Perniagaan’, perniagaan Murtabak Pak Din dikatakan mula merudum apabila salah seorang pekerjanya membocorkan ‘resepi rahsia’ Murtabak Pak Din kepada orang ramai (2004:p.72). 



Rujukan:

Francais Scheme to start off with Pak Din’s Murtabak (18 November 1987). The Straits Times.

Kamarulzaman Salleh. (22 Julai 1988). Pak Din Murtabak to go international. The Straits Times.

Kedai francais ala 7 eleven diperkenalkan.(24 Julai 1997), Utusan Malaysia

Pak Din scales new peak of success. (11 Mac 1988), New Straits Times.

Pak Din to sell his murtabak in M-East. (2 May 1989), The Straits Times.

Wan Sabri Wan Hussin. ‘Etika dan Amalan Perniagaan. Kuala Lumpur:Utusan Publication. 2004.

Wednesday, February 05, 2014

Suatu masa dahulu : Lesen TV dan Radio di Malaysia.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Suatu masa dahulu, rakyat Malaysia yang memiliki Radio atau Television perlu mempunyai lesen iaitu selari dengan akta penyiaran 1988 (Broadcasting Act). Bayaran bagi lesen TV adalah sebanyak RM24 setahun manakala lesen radio adalah lebih rendah, bagi kenderaan yang mempunyai radio sebagai aksesori, bayaran lesen sebanyak RM12 dikenakan. Urusan mendapatkan lesen radio dan TV ini dilakukan di pejabat Pos di seluruh negara.

Lesen yang dikeluarkan adalah berupa borang yang bertulisan tangan. Penggunaan TV atau radio tanpa lesen boleh menyebabkan pengguna didakwa di Mahkamah dan jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.Pada Februari 1989, kerajaan mengumumkan pemansuhan lesen bagi radio diikuti dengan lesen TV pada tahun 1999 meskipun ianya bermakna kerajaan kehilangan anggaran pendapatan sekitar RM42 juta (NST, 3 November 1985). Pada peringkat awal pemansuhan ini dilaksanakan, kerajaan terpaksa membayar balik kepada pemilik lesen TV yang masih aktif pada ketika itu yang melibatkan kos melebihi RM270,000. 

Di United Kingdom, lesen TV masih dilaksanakan dengan caj sebanyak £145.50 setahun, pembayaran boleh dilakukan secara ansuran mingguan, bulanan atau tahunan.

Rujukan:


$42mil from tv licences next year. (3 November 1985) The New Straits Times.


2,600 radio, tv users get warning (24 Jun 1988), The New Straits Times.


Deadline for TV licence refund. (18 May 2000). Malay Mail 


Govt scraps fees for radio licence.(26 February 1989). The New Straits Times.


Lat’s .(14 February 1989). The Straits Times.


Lesen TV at http://bluesriders.blogspot.co.uk/ (access on 20 November 2013).


RM270,000 in TV fees refunded. (15 March 2000). Malay Mail


http://www.tvlicensing.co.uk/